Monday, November 8, 2010

MR.SHAK dalam paper KOSMO 2009!!


Meskipun hidup tanpa teman, ikan laga mampu menghiburkan dirinya dengan mengembangkan ekor dan insangnya.
.
Kebolehan ikan laga menyesuaikan diri hidup sendirian merupakan antara faktor mengapa anak muda dari Ipoh, Perak ini menggemari haiwan tersebut.
.
Meminati ikan laga sejak kecil, Mohamad Shakirinal Amin Zolkarnain, 22, mengakui ikan laga adalah istimewa.
.
"Saya suka lihat cara hidupnya. Ikan laga boleh hidup sendirian tanpa berasa bosan dengan cara menghiburkan diri sendiri. Ia akan menghiburkan dirinya dengan mengembangkan ekor dan insangnya. Ikan ini memang istimewa," kata Shakirinal kepada GenK menerusi perbualan telefon di Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurutnya, ikan laga boleh mengembangkan ekornya tiga kali ganda lebih besar daripada saiz asalnya.
.
"Tabiat semula jadi ikan ini adalah 'pantang' bertemu dengan ikan laga yang lain. Jika bertemu, pasti ikan-ikan laga ini akan bergaduh sesama sendiri. Sebab itulah, ikan laga terpaksa hidup sendirian," tambahnya sambil menjelaskan ikan-ikan laga betina bagaimanapun boleh hidup secara berkoloni.

Memiliki lima ekor ikan laga pada masa ini, Shakirinal berkata, dia pernah memelihara 20 ekor laga dalam satu masa.
.
"Ada antaranya telah saya lepaskan ke tasik dan ada yang mati memandangkan ikan jenis ini hidup tidak lama. Biasanya, jangka hayatnya tidak sampai empat tahun," katanya sambil menjelaskan, dia mula menggemari ikan laga dan memeliharanya sejak berumur lima tahun.
.
Namun ketika itu, dia yang masih kanak-kanak tidak begitu pandai memelihara ikan laga dan hobi itu terpaksa dihentikan. Apabila Shakirinal berusia 18 tahun, barulah hobi itu disambung semula iaitu ketika dia belajar di sebuah politeknik.
.
Satu lagi daya tarikan ikan laga adalah ia cantik dan boleh didapati dalam pelbagai warna seperti biru, pic, merah, kuning, ungu dan macam-macam lagi.
.
"Ada sesetengah pemelihara yang bijak akan mengkacukkan haiwan ini sebagai salah satu cara eksperimentasi bagi mendapatkan pelbagai warna ikan.
.
"Sebenarnya, warna ikan ini juga dipengaruhi oleh persekitaran. Warnanya yang cantik boleh pudar dan hilang kalau ia mengalami tekanan. Itu sebabnya, pengetahuan tentang ikan ini penting jika seseorang mahu memeliharanya," katanya sambil menjelaskan ikan laga boleh mengalami tekanan disebabkan air di dalam bekas peliharaannya kotor.
.
Bercerita tentang bagaimana ikan tersebut dikacukkan memandangkan ia 'pantang' bertemu ikan laga yang lain, Shakirinal berkata, ikan laga betina yang diletakkan di dalam satu bekas akan di masukkan ke dalam akuarium ikan laga jantan. Jadi, ikan laga jantan hanya boleh melihatnya tetapi tidak boleh mendekatinya.
.
"Tinggalkan ia begitu selama sehari. Esoknya, ambil bekas yang mengisi ikan laga betina dan keluarkannya. Pada mulanya, anda akan lihat ikan-ikan itu seperti bergaduh tetapi selepas itu, mereka akan melakukan hubungan. Apabila ikan laga betina selesai bertelur, pindahkan ikan itu ke bekasnya sebelum ikan laga jantan menyerangnya," kata Shakirinal sambil menjelaskan ikan laga jantan akan memelihara telur sehingga menetas.
.
Katanya, apabila menetas, ikan laga jantan akan dipindahkan ke dalam bekas atau balang yang lain.
.
"Ikan laga betina dan anak-anak ikan laga yang masih kecil boleh tinggal bersama," jelasnya ringkas.
.
Selain itu, katanya, beliau memelihara ikan laganya di dalam akuarium kecil atau balang dan memberinya makan guppy (makanan khas untuk ikan laga) empat kali sehari. Kalau di habitat asalnya, ikan laga gemar makan lumut dan apa sahaja hidupan kecil di dalam air.
.
Mengenai kebersihan, Shakirinal akan mencuci tempat tinggal ikan laga peliharaannya sekali dalam dua hari. "Tetapi, kalau kita tinggalkan rumah selama 10 hari, ikan ini masih boleh hidup," ujarnya yang memberitahu harga ikan laga adalah antara RM3 hingga RM6 seekor.
.
Namun begitu, sejak tiga bulan lalu, Shakirinal terpaksa berpisah dengan ikan-ikan laganya apabila mula bekerja di Kuala Lumpur.
.
"Apabila rindu, saya akan balik ke kampung untuk melihat ikan-ikan laga saya," katanya yang meminta bantuan abangnya untuk menjaga ikan-ikannya itu.
.
sumber: Kosmo! online

No comments:

Post a Comment